gravatar

JKKK Perlu Dalami Ilmu Tadbir Urus Dan Lebih Bermaklumat

JKKK Perlu Dalami Ilmu Tadbir Urus Dan Lebih Bermaklumat



BANGI, 9 Feb (Bernama) -- Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa untuk mendalami ilmu tadbir urus dan perlu lebih bermaklumat selaras dengan tugas dan peranan mereka yang kian mencabar, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.



Beliau berkata adalah penting bagi pemimpin mendapat maklumat yang tepat tentang dasar-dasar kerajaan sekaligus menjadikan mereka individu yang dihormati oleh masyarakat.



"Mereka ini perlu bertindak sebagai perantara antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan rakyat faham dengan dasar-dasar kerajaan dan ambil tindakan yang sewajarnya. Kita tak mahu rakyat hanya tahu tentang 1Malaysia, NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) atau model ekonomi baru tetapi adakah mereka akan mengetahuinya secara mendalam?.



"Selain itu mereka ini lebih tahu tentang hal kampung mereka sebagai contoh menubuhkan pasukan keselamatan atau Rela jika kampungnya berhadapan dengan masalah keselamatan," katanya kepada pemberita selepas majlis Menteri Bersama JKKK di sini Selasa.



Sehubungan dengan itu beliau telah meminta kerjasama Institut Kemajuan Desa (Infra) untuk membekalkan maklumat berkaitan dan mengedarkannya kepada setiap pemimpin kampung untuk mereka mempelajari dasar-dasar tersebut seterusnya membekalkan maklumat itu kepada penduduk kampung.



"Kita kena maklumkan setiap apa yang ingin kerajaan lakukan... seperti dalam Rancangan Malaysia ke-10, untuk buat jalan baru ada tanah orang kampung yang akan diambil. Kita kena maklumkan supaya proses ambil alih dapat berjalan lancar sebab kalau lambat ini akan merugikan rakyat," katanya.



Mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak adalah sah, Shafie yang juga Naib Presiden Umno meminta semua pihak menghormati keputusan tersebut.



Beliau turut bersetuju dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat negeri Perak tidak terlibat dalam sebarang kegiatan politik yang dianggap tidak menghormati keputusan mahkamah.



"Kita ada undang-undang, jangan nanti setiap apa yang diputuskan oleh mahkamah kita bantah dan apabila dikenakan tindakan oleh pihak berwajib kita kata mereka zalim padahal kita tahu kita dah langgar undang-undang," katanya.







--BERNAMA

idea yang sangat baik untuk kebaikan semua :-)

Related Posts with Thumbnails